Dalam
sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di
dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil memberi
salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya
sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi
S.A.W bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai
Ummul Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil meletakkan kepalanya
di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut
yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata,
"Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga
tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis
sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.
Baginda terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya
sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan
kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Keadaan
bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai
Rasulullah!"
Rasulullah S.A.W berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a :
"Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari
rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya.
Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula
mengatakan: "Aduhai anak!"
Rasulullah S.A.W bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka,
manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak
ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam
liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya
kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya
kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta dengan segala amal
perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih
hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang
lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah S.A.W : "Wahai Aisyah, sesungguhnya
sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke
rumahnya untuk emmandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari
jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi
para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk
dimandikan.
Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam
keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali
jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang
yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku
dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan
sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, "Wahai
orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air
dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana
tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika merea memandikan,
maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah
engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan
keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan
serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai
orang yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani
kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum
keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun
pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat
berjumpa lagi sehingga hari kiamat."
Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru,
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi
janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi
yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan
dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku
tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya."